DIARI SEORANG GURU
6.50 pagi :
Saya sudah tiba di sekolah. Saya semak samada saya bertugas hari ini. Jika saya bertugas saya semak semula senarai tugas dan lokasi tumpuan hari ini. Sebagai guru bertugas harian juga saya akan mendahului rakan-rakan yang lain melaksanakan amalan guru penyayang pada hari tersebut. Sambil melontarkan senyuman gembira saya menyapa sambil bertanya khabar kepada murid-murid.
Seterusnya saya meninjau papan notis kalau-kalau turut terlibat dengan 'sit in' kepada rakan yang tidak dapat hadir pada hari ini.
Jika saya guru kelas, saya akan mula bergerak ke kelas. Saya memantau murid yang bertugas melaksanakan aktiviti kebersihan di bilik kelas.
7.05 pagi :
Murid berbaris di hadapan bilik kelas untuk menyanyikan lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan lagu sekolah.
Kebetulan hari ini merupakanIsnin dan masa pertama adalah perhimpunan mingguan sekolah. Saya akan memastikan murid kelas saya bersedia ke perhimpunan sekolah dengan pakaian yang kemas dan berdisiplin.
Kehadiran murid saya catat dalam buku rekod kehadiran.
7.20 pagi : PdP bermula.
Saya masuk ke kelas tepat pada masa yang telah ditetapkan dan bersedia untuk PdP berpandukan RPH yang TELAH saya rancang semalam. PdP yang saya laksanakan secara berfokus dan berpusatkan murid. Murid yang belum menguasai kemahiran yang diajar pada hari itu akan dibimbing secara individu.
Saya memberikan kerja rumah yang sesuai untuk latihan pengukuhan dan pemulihan murid yang belum menguasai.
Saya kembali ke bilik guru untuk membuat persediaan bagi PdP seterusnya. Masa tidak mengajar atau 'Non Teaching Period' akan saya gunakan untuk mengurus rekod pencapaian murid, menyediakan BBM untuk PdP akan datang di samping melaksanakan tugasan rasmi saya yang lain.
12.50/1.20 ptg:
Selepas semua murid balik, saya meronda di sekitar blok kelas bagi menilai tahap 3K kelas pada hari itu. Saya akan mencatat ke dalam buku laporan harian guru bertugas sekiranya terdapat perkara yang perlu diambil perhatian untuk tindakan seperti kebersihan kelas, buku yang tertinggal dalam kelas dan sebagainya.
2.45 ptg :
Sebelah petang saya akan bertugas mengawas murid belajar dan mengadakan perjumpaan bagi aktiviti KOKO. Saya akan memastikan murid membuat kerja rumah/ulangkaji dengan teratur dan terkawal. Kebetulan pada hari ini saya turut bertugas mengawas murid belajar malam. Saya dan PPM Asrama yang bertugas akan memastikan murid belajar dan membuat persediaan untuk pembelajaran keesokkan harinya.
Kebiasaanya saya akan menggunakan masa yang terluang pada sebelah petang dan malam untuk membuat kerja-kerja bagi penambahbaikan tugas yang telah diamanahkan kepada saya.
Saya seorang yang sentiasa berfikiran positif dan mendambakan persekitaran sekolah yang ceria, harmoni dan kondusif bagi semua warganya. Saya sentiasa bersedia dengan idea yang kreatif dan inovatif, bersemangat serta bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk anak didik khasnya dan sekolah amnya.
Saya berdoa semoga tuhan memberkati segala usaha murni yang telah dan akan saya laksanakan serta memberkati ganjaran yang saya terima sebagai seorang pendidik.
Jemalilen/skssep...
GO BEYOND, WE LEAD THE CHANGE..